Tuesday, March 22, 2011

JANJIKU PADA MARLIA

CATATAN KENANGAN/ SEBUAH KISAH BENAR:-

Suatu ketika dahulu, saya dihubungi oleh seorang wanita yang mahu mendaftarkan adiknya ke dalam program saya. Dia mengatakan bahawa adiknya itu tidak bertudung kepala. Lalu saya menjawab: “Yang tak bertudung kepalalah, yang lebih perlu untuk saya menerimanya”.

Lalu dia berkata: “Tapi, ada masalah lain lagi ustaz”, katanya. Masalah lain? Saya tertanya-tanya di dalam hati. “Masalah bagaimana tu puan?” saya mengemukakan soalan.

Sukar juga untuk dia mengatakannya. Beberapa kali dia tersangkut-sangkut;” Dia…Dia…Dia…”.“Tak apa puan. Beritahu sahaja”, saya membantu melancarkan tutur katanya.

Akhirnya dia berkata: “Adik saya ni, `tom boy’ ustaz!”.

Terkelu juga lidah saya mendengarnya kerana tak pernah dihadapkan dengan persoalan begini. Tetapi kemudiannya, fikiran saya menjadi tenang semula. “Tak apa puan. Saya akan terima.
Cuma janganlah berpakaian menjolok mata”, tambah saya.

"Memanglah. Kan dia berpakaian seperti lelaki! Jadi tak adalah menjolok mata”, dia menjawab dan saya bersetuju dengannya.

Pada hari yang berkenaan, saya dan peserta-peserta program, sampai ke lokasi program, iaitulah di sebuah kampong latihan yang dikenali sebagai DUSUN ECHO RESORT. Ketika semua peserta berada di dalam dewan untuk mendengar taklimat program dari saya, peserta `istimewa’ saya itu hanya duduk di tangga dewan. Tidak mahu masuk.

Puas isteri saya memujuk, namun dia tak mahu masuk juga. Rakan-rakan yang lain juga cuba memujuk, tapi hasilnya tetap sama. Saya rasa saya tahu apa yang ada di dalam fikirannya!

Dia takut, dia akan menjadi bahan leteran saya setiap kali sessi ceramah. Dia mungkin menyangka bahawa saya melihatnya dengan pandangan benci. Sebagai seorang ustaz, berjubah, isteri bertudung labuh dan sebagainya; tentu saya akan menyerangnya di dalam ceramah dengan kata-kata saya.

Akhirnya, saya sendiri pergi kepadanya lantas bertanya: “Siapa nama?”

"Marlia…(Bukan nama sebenar)”, jawabnya.

"Marlia tahu apa nama program ustaz ni?” tanya saya pula.

"Tahu…” katanya.

"Cuba Marlia sebutkan…” kata saya pula.

Projek Kaseh…” jawabnya ringkas.

"Marlia tahu, kenapa ustaz namakan program ni, `Projek Kaseh’?” tanya saya lagi.

“Tak tahu, ustaz” jawabnya pula.

Saya terus berkata: “Marlia tengok di sana…”, sambil saya menunjuk ke dalam dewan.

"Semua peserta-peserta yang ada di dalam dewan tu, walaupun dua orang daripada mereka adalah anak ustaz sendiri, tetapi semuanya ustaz pandang macam anak ustaz sendiri. Marlia kena tahu, asas program ustaz ni adalah kasih sayang. Tiada kebencian, di dalam program dan juga di dalam diri ustaz. Marlia juga perlu tahu bahawa ustaz tidak akan membeza-bezakan mereka yang datang ke dalam program ustaz. Marlia masuklah ke dewan sekarang. Percayalah kepada ustaz. Nanti, Marlia tentu akan seronok berada di sini.”

"Ya lah, ustaz,” Marlia akhirnya menjawab. Ada sedikit perubahan pada air mukanya.

Selepas beberapa jam mengikuti program, Marlia kelihatan menjadi lebih ramah dan mesra. Di situ saya menyedari bahawa dia sebenarnya adalah seorang budak yang baik.

"Ustaz dah minum?” tanya Marlia kepada saya di dewan makan Dusun Echo Resort yang terletak di kilometer 5.8 lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak.

"Belum lagi. Marlia sudah?” tanya saya pula.

“Sudah, ustaz”, katanya pula.

“Sedap?”, tanya saya lagi.

“Sedap”, Jawabnya pula.

Begitulah seterusnya selama tiga hari dua malam, Marlia mengikuti program dengan baik. Mendengar ceramah, berzikir, menonton VCD berbimbingan, menyempurnakan aktiviti berkumpulan dan sebagainya.Selepas majlis penutup pada petang di mana kami semua akan bertolak pulang, Marlia berjalan ke Dewan makan mengiringi saya. Dia berkata: “Ustaz boleh tolong saya, ke?” tanyanya.

“Insya Allah, jika ia perkara yang saya mampu lakukan. Pertolongan bagaimana?” tanya saya pula.

“Boleh ustaz pujuk kakak saya, untuk hantar saya balik kampong? Kalau boleh malam ni juga!” Marlia menjelaskan.“Oh…begitu. Tentu boleh. Cuma, terpulanglah kepada kakak Marlia untuk bersetuju atau tidak. Kampung Marlia di mana?” tanya saya kembali.

“Melaka, ustaz”, jawabnya ringkas.

“Jauh tu! Tak sempat malam ni. Pagi esok baru boleh kot?” saya memberi pandangan.

“Tak apalah. Pagi esok pun tak pa. Tapi, jangan lewat daripada itu”, kata Marlia pula.

Saya bersyukur kerana Marlia bersetuju. Susah juga saya rasanya kalau dia berkeras.

“Dalam perjalanan balik ke rumah nanti, ustaz talipon”, saya memberikan janji yang tegas kepada Marlia.“Terima kasih ustaz”, jawabnya pula.

Dalam perjalanan balik ke rumah untuk merehatkan diri dari kepenatan mengendalikan program, saya singgah di sebuah restoran untuk minum dan membuat panggilan yang saya janjikan. Setelah mematikan injin kereta di sebuah restoran yang sederhana besarnya, saya terus ke bilik air untuk memutar kepala paip. Malangnya, semasa saya tunduk, talipon tangan saya terjatuh ke dalam lubang tandas. Ini menghalang niat saya untuk membuat panggilan kepada kakak Marlia sebagaimana yang dijanjikan.Saya dan keluarga sampai di Gombak sudah agak lewat malam. Tak manis rasanya utuk menalipon orang yang tidak kita kenal dengan rapat, waktu-waktu sebegitu.

Paginya, setelah mendapatkan telefon baru saya terus membuat panggilan kepada kakak Marlia.“Ini ustaz Hishamuddin”, saya memperkenalkan diri setelah talian panggilan saya diambil oleh pemilik nombor yang saya dail.

“Oh, ustaz. Kenapa ustaz?, taya kakak Marlia sebaik sahaja dia dapat mengecam bahawa saya yang membuat panggilan.

“Marlia mana?” tanya saya.

“Oh…Marlia. Dia dah balik kampong ustaz. Jam 9 tadi dia naik bas ke Melaka.

Bila mendengarkan kenyataan itu, hati saya menjadi benar-benar lega. Saya bimbang, jika Marlia menganggap bahwa saya telah memungkiri janji. Malah lebih saya bimbang jika dia melihat bahawa didikan dan perhatian yang saya berikan kepadanya sebelum hanyalah komersial semata-mata. Lalu spontan saya berkata: “Alhamdulillah…”.

Kakak Marlia merasa hairan dengan `tahmid’ yang saya ucapkan itu, lalu dia bertanya: “Kenapa pula ustaz?”, soalnya.

Saya menjelaskan kepadanya tentang permintaan Marlia dan janji saya kepadanya. Itu, membuatkan dia menceritakan kisah sebenar Marlia yang saya tidak mengetahuinya sebelum ini.

“Sebenarnya ustaz…Marlia tu, sudah enam tahun lari dari kampong. Tak nak balik. Mak dan ayah sudah teramat rindu kepadanya. Tapi dia keras hati. Puas sudah saya pujuk. Puas juga saya menghantar ke program-program tertentu, tetapi saya masih gagal memujuknya untuk pulang ke kampong. Akhirnya, kawan-kawan sekerja saya di Petronas mencadangkan kepada saya menghantar ke program ustaz. Saya pun hantarlah, tanpa meletakkan harapan yang tinggi kerana kegagalan sebelum ini. Sebab itulah saya tak beritahu ustaz pun. Tapi, alhamdulillah…
Balik sahaja dari program ustaz itu, dia minta nak balik kampong. Syukur, ustaz”, ceritanya.

Buat seketika, saya tak berkata apa-apa. Terkejut juga. Namun saya bersyukur kepada Allah, program yang saya ikhtiarkan, kasih sayang yang saya siramkan dan apa yang lebih penting – pertolongan dari Allah swt telah membawa Marlia kepada kedua ibu bapanya semula.

“Syukurlah puan. Tak tahu pula saya. Walaubagaimanapun, alhamdulillah kerana segalanya menjadi baik.”“Terima kasih ustaz”, katanya pula.

“Ya. Sama-sama,” saya menjawab, walaupun kemudiannya saya menyedari bahawa saya bukanlah layak untuk menerima ucapan terima kasih itu.

Selepas itu, selalu juga Marlia menghubungi saya bertanyakan khabar. Tetapi selepas saya bertukar nombor telefon, saya tidak lagi dapat panggilan dari Marlia. Di saat ini, teringin juga saya mengetahui perkembangan dirinya.

Marlia telah membuatkan saya benar-benar yakin bahawa tanggungjawab kita adalah untuk menyayangi dan bukannya membenci…….

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home